Sumpahan Rumah Berhantu by Farhana Liyana - HTML preview

PLEASE NOTE: This is an HTML preview only and some elements such as links or page numbers may be incorrect.
Download the book in PDF, ePub for a complete version.

Sumpahan Rumah Berhantu dan

Pada suatu hari, sahabat saya yang juga seorang cendekiawan dan ahli falsafah berkata kepada saya dalam nada seakan bergurau tetapi serius “Kau tahu tak, lepas kita jumpa dulu, aku terjumpa sebuah rumah berhantu dekat tengah-tengah Kota London.”

“Rumah berhantu? Biar betul?”

“Aku sendiri pun tak pasti. Perkara ni jadi enam minggu lepas, waktu itu aku dan isteri aku tengah mencari sebuah pangsapuri yang lengkap dengan perabot. Kebetulan kami melalui sebuah jalan yang sunyi, kami ternampak poster yang bertulis ‘Pangsapuri, Berperabot’ ditampal di tingkap salah sebuah rumah. Poster itu menarik perhatian kami. Jadi kami masuk, melihat keadaan sekeliling dan menyukai rumah itu. Tanpa berfikir panjang, kami pun menyewa rumah itu tetapi keluar pada hari ketiga. Isteri aku bermati-matian tidak mahu tinggal lagi di rumah itu dan aku tahu kenapa.”

 “Apa yang kau nampak?”

“Kalau aku cakap, kau mesti kata yang aku ini percaya pada benda-benda tahyul. Tapi aku tak boleh salahkan kau kalau kau kata cerita aku ini mengarut sebab aku tahu kau tak pernah alaminya. Lagipun kau mesti fikir yang kami dah kena tipu dengan orang lain atau kami ini terlampau takut sampai berhalusinasi. Tapi itu semua bukan penyebab utama kami keluar daripada rumah itu. Kami keluar sebab tak tahan dengan rasa seram bila kami lalu depan sesetengah bilik kosong. Dan kau tahu untuk pertama kalinya aku bersetuju dengan isteri aku untuk keluar pada hari ketiga juga. Kau pun tahukan isteri aku itu kadangkala mengarut. Jadi esok harinya, aku panggillah wanita yang jaga rumah itu dan beritahu yang rumah tu tak sesuai dengan kami dan kami mahu keluar hari itu juga. Wanita itu berkata tanpa nada, “ Saya tahu kenapa. Kamu berdua dah tinggal di rumah ini lebih lama dari penyewa-penyewa lain. Ada penyewa pernah tinggal dua malam tapi tak ada seorang pun yang pernah tinggal hingga malam ketiga. Nampaknya ‘mereka’ berlembut dengan kamu.”

"Mereka? Siapa?” Aku bertanya, cuba untuk tersenyum.

"Mereka yang menghantui rumah itulah. Saya tidak kisah tentang mereka. Mereka sudah lama wujud dirumah itu, sejak saya tinggal di rumah ini lagi tetapi bukan sebagai orang gaji. Saya tahu saya akan mati disebabkan mereka. Saya tidak peduli lagipun saya sudah tua dan akan mati tidak lama lagi. Selepas mati, saya akan berada bersama-sama mereka di dalam rumah ini.”  Wanita itu bercakap dengan tenang sehingga aku rasa kagum dan kelu. Aku bayar sewa rumah untuk seminggu. Tapi yang buat kami senang hati sebab sewa rumah itu sangat murah. "

 "Kau buat aku penasaran," saya berkata. “Aku memang suka kalau dapat tidur dalam rumah berhantu. Apa kata kau bagi aku alamat rumah itu? "

Sahabat saya telah memberikan alamat rumah itu dan apabila kami berpisah, saya terus menuju ke alamat rumah yang diberikan.

Rumah itu terletak di sebelah utara Oxford Street. Semasa saya tiba, rumah tersebut senyap sunyi, tiada poster bertampal di tingkap, dan ketukan saya juga tidak disambut. Semasa saya berpaling untuk pergi, seorang pelayan yang sedang mengumpul kole di kawasan berdekatan berkata kepada saya, “Encik nak  jumpa seseorang ke?”

“Ya, saya dengar rumah ini ingin disewakan.”

“Disewakan! Wanita yang menjaga rumah itu telah meninggal dunia tiga minggu lepas dan tiada orang ingin tinggal disitu walaupun Encik J menawarkan upah yang lumayan. Encik J juga pernah menawarkan sebanyak satu paun seminggu kepada ibu saya, hanya untuk membuka dan menutup tingkap sahaja tetapi ibu tetap menolaknya. Ibu saya sebenarnya ialah pembantu rumah Encik J.”

“Tolak! Kenapa?”

“Rumah itu berhantu dan wanita tua yang menjaga rumah tersebut ditemui mati di atas katilnya dengan mata terbeliak. Semua orang kata yang iblis telah cekik dia sehingga mati.”

“Oh! Tadi adik ada cakap tentang Encik J. Dia tuan rumah inikah?”

“Ya.”

 “Dia tinggal dimana?”

“Rasanya di Jalan G.”

“Dia kerja tak? Atau dia ahli perniagaan?”

“Tak encik. Dia tak bekerja. Dia lelaki bujang yang budiman.”

Saya memberikan budak lelaki itu ganjaran yang setimpal dengan maklumat yang diberikan. Saya meneruskan perjalanan ke rumah Encik J, di Jalan G, tidak jauh dari rumah itu. Saya bernasib baik kerana Encik J berada di rumah. Encik J, lelaki tua yang kelihatan seperti orang berpelajaran.

Saya perkenalkan diri dan memberitahu tujuan saya. Saya memberitahu kepadanya bahawa saya ada mendengar tentang rumah yang dianggap berhantu itu, dan saya ingin menyelidik rumah tersebut. Saya juga menyatakan bahawa saya akan bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya beliau membenarkan saya menyewa rumah itu, walaupun hanya untuk satu malam dan sanggup membayar berapa sahaja yang dimintanya. "Encik, "kata Encik J penuh dengan budi bahasa, "Gunalah rumah itu selama mana yang encik mahukan. Duit sewa bukan lagi persoalannya malah saya akan menanggung segala kos, sekiranya encik berjaya menemukan punca kepada segala fenomena luar biasa yang berlaku di rumah tersebut. Fenomena yang membuatkan rumah tersebut hilang nilai. Saya tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Saya juga tak berjaya mendapatkan seseorang yang sanggup menjaga rumah itu. Malangnya rumah itu bukan saja dihantui pada waktu malam tetapi waktu siang juga. Tetapi gangguan pada waktu malam lebih dahsyat dan kadang kala muncul lembaga yang menakutkan. Perempuan tua yang meninggal dunia di dalam rumah itu tiga minggu lalu adalah fakir yang telah saya ambil dari workhouse[1]. Beberapa ahli keluarga saya mengenalinya ketika dia masih kecil. Suatu ketika dahulu, dia pernah menyewa rumah bapa saudara saya, tapi pada waktu itu hidupnya agak senang. Dia merupakan seorang wanita yang berpendidikan tinggi dan pintar. Dia juga merupakan satu-satunya orang yang saya dapat pujuk untuk terus kekal di rumah tersebut. Namun, sejak kematiannya yang mendadak ditambah pula dengan inkues[2] daripada koroner yang memburukkan lagi keadaan, saya dah putus asa mencari seseorang untuk menjaga rumah, apatah lagi penyewa. Bahkan saya rela menyewakan rumah itu secara percuma selama setahun sekiranya ada sesiapa yang sanggup membayar kadar dan cukainya. "

"Dah berapa lama rumah itu dihantui oleh lembaga yang menakutkan!

“Saya sebenarnya tak pasti sejak bila, tapi saya rasa sejak beberapa tahun dahulu. Wanita tua itu yang beritahu saya, rumah dah dihantui sejak dia menyewa lagi dalam tiga puluh dan empat puluh tahun lalu. Saya pula tak tinggal disini kerana saya bekerja dengan Syarikat Hindia Timur dalam sektor  perkhidmatan awam. Saya baru pulang ke England tahun lepas. Sejurus kembali, saya mewarisi harta bapa saudara saya dan rumah tersebut antara harta yang di wasiatkan kepada saya. Apabila saya menjenguk rumah itu, saya dapati rumah tersebut ditutup dan tidak didiami. Saya juga diberitahu rumah itu berhantu. Jadi tiada siapa yang ingin mendiaminya. Saya hanya mampu tersenyum kerana bagi saya semua itu hanya khabar angin. Saya menghabiskan banyak wang untuk membaiki rumah tersebut dengan menambah beberapa sentuhan moden pada perabot tradisionalnya. Kemudian saya iklankan rumah tersebut dan mempunyai penyewa selama setahun. Beliau adalah seorang kolonel bersara. Beliau tinggal bersama keluarganya, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, empat atau lima orang kakitangan. Kesemua mereka keluar daripada rumah itu keesokkannya. Walaupun setiap seorang daripada mereka kata yang mereka melihat sesuatu yang berbeza, perkara ini masih lagi sesuatu yang dahsyat. Saya tak boleh saman, ataupun menyalahkan colonel itu kerana melanggar perjanjian. Saya kemudian bawa wanita tua itu tinggal disitu, dan beri kuasa pada dia untuk menyewakan rumah tersebut. Saya tak pernah ada penyewa yang tinggal lebih daripada tiga hari. Saya tak akan beritahu awak kisah mereka sebab tak ada dua penyewa yang alami kejadian yang sama. Lebih baik awak menilai sendiri dengan mata awak dan saya nasihatkan awak agar berhati-hati."

“Encik tak ingin nak bermalam di rumah itu?”

"Saya bukan saja pernah bermalam disitu, malah saya juga pernah berada dalam rumah itu  selama tiga jam pada waktu siang. Saya tak mahu ambil tahu dah dan saya pun tak ingin untuk ulang balik eksperimen itu. Saya bukanlah orang yang sesuai untuk buat eksperimen itu kerana saya tidak ada iltizam dan semangat yang kuat. Dan kalau awak pun tak ada semanagt yang kuat, saya nasihatkan awak jangan bermalam dekat rumah itu."

"Saya sebenarnya sangat teruja," kata saya, "walaupun hanya pengecut saja yang akan bermegah tentang keberaniannya, tapi semangat saya dan bantu saya dalam mengharungi pelbagai bahaya. Dan saya hanya akan bergantung pada semangat saya, walaupun dalam rumah berhantu."

Encik J berkata sedikit sebelum dia mengambil kunci rumah daripada pejabatnya, dan memberikan kepada saya. Sambil mengucapkan terima kasih atas kejujuran dan sifat prihatin beliau tentang hasrat saya lalu saya pulang.

Oleh kerana tidak sabar untuk melakukan eksperimen tersebut, saya memanggil pembantu rumah saya, sebaik saja saya sampai di rumah. Pembantu saya, lelaki muda yang bersemangat, berani, dan tidak mempercayai tahyul seperti orang lain.

"F," 'kata saya, "kamu masih ingat di Jerman, betapa kecewanya kita kerana tak berjaya jumpa hantu di istana lama. Istana yang dikatakan dihantui oleh lembaga yang tidak berkepala  Saya terdengar ada sebuah rumah di London yang berhantu, dan saya amat berharap rumah itu berhantu. Saya ingin tidur di sana malam ini. Dari apa yang saya dengar, saya pasti kita akan dapat lihat atau dengar sesuatu yang sangat dahsyat. Jika saya bawa kamu dengan saya, bolehkah saya bergantung kepada kamu untuk menghadapi apa saja yang bakal berlaku?"

"Oh, tuan boleh percayakan saya," jawab F sambil tersenyum kegembiraan.

"Baik, ini kunci rumah itu dan ini  alamatnya. Pergi dan pilih mana-mana bilik tidur yang kamu rasa elok untuk saya. Rumah itu dah lama tak ada orang tinggal, jadi kamu pergi nyalakan api dipendiang dan siapkan katil. Lihat sama ada ada lilin atau bahan api. Bawa pistol dan pisau saya dengan kamu. Siapkan diri kamu dengan senjata dan kalau kita tak berjaya jumpa hantu pun tak apa sebab kita tak rugi apa-apa.” 

Selepas itu, sepanjang hari saya sibuk dengan urusan penting sehingga saya tak punya masa lapang untuk fikir tentang pengembaraan saya malam. Pengembaraan yang telah saya pertaruhkan maruah saya. Saya makan seorang diri lewat malam itu sambil membaca kerana itu tabiat saya. Saya memilih satu daripada senarai koleksi cerita pendek Macaulay. Saya terfikir untuk membawa buku itu bersama saya kerana dalam buku itu ada banyak idea boleh dijadikan ubat kepada perkara tahyul yang akan berlaku.

Bila jam sudah sembilan setengah, saya letakkan buku itu ke dalam poket saya, dan berjalan santai ke arah rumah tersebut. Saya membawa bersama anjing kegemaran saya, seekor Bull Terrier: yang licik, berani, dan sentiasa berwaspada. Ia gemar menyalak sekiranya terdapat perkara pelik dan suka mencari tikus di lorong-lorong gelap.

Malam itu merupakan malam musim panas tetapi keadaan malam itu agak sejuk dan langit kelihatan suram dan mendung. Tetapi saya masih boleh melihat bulan, samar-samar tetapi masih boleh dilihat. Sekiranya awan berlalu pergi, langit pasti cerah selepas tengah malam.

Saya sampai di rumah itu lalu mengetuk pintu, dan pembantu saya membukanya sambil tersenyum ceria.

“Tuan, segala-galanya baik dan sangat selesa."

"Oh" saya berkata, agak kecewa; "Kamu tak ada nampak atau dengar apa-apa yang ganjil?"

"Saya ada terdengar sesuatu yang ganjil."

"Apa dia?"

"Bunyi detak kaki di belakang saya. Sekali sekala saya terdengar bunyi orang berbisik di telinga saya,itu saja."

"Kamu tak takut?"

"Saya! Saya tak takut sikit pun, tuan.” Melihat pada keberanian dia memberi jaminan pada saya yang dia tidak akan tinggalkan saya walau apapun yang berlaku.

Kami berada di ruang tamu, bila pintu hadapan ditutup. Kemudian perhatian saya beralih kepada anjing saya. Pada mulanya ia berlari dengan penuh semangat namun kemudian menyelinap kembali ke pintu, dan mengongoi untuk keluar. Selepas mengusap kepalanya, dan menenangkannya, ia kembali tenang, dan mengikuti saya dan F menerokai rumah itu. Tetapi ia tidak jalan jauh dari saya dan bukannya berlari-lari seperti kebiasaannya. Kami meneroka pangsapuri di bahagian bawah tanah dulu, kemudian dapur, pejabat, dan paling utama bilik bawah tanah. Bilik yang menyimpan dua atau tiga botol wine yang masih ada di dalam tong, dilitupi oleh sarang labah-labah. Berdasarkan situasi itu, jelas botol itu tidak diusik bertahun-tahun lamanya. Hal ini menunjukkan yang hantu di dalam rumah itu bukan peminum. Kami tidak menjumpai apa-apa di bilik lain. Dibelakang terdapat laman kecil yang suram dengan dinding yang sangat tinggi. Tanah di kawasan ini sangat lembap, berhabuk dan penuh dengan kotoran asap di kaki lima. Apabila kami melaluinya, kami meninggalkan kesan tapak di setiap laluan kami. Tiba-tiba, muncul satu fenomena pelik yang saya sendiri saksikan di sini. Saya nampak kesan tapak kaki muncul dengan sendiri. Saya berhenti dan memegang pembantu saya lalu tunjukkan kepadanya. Kemudian, muncul satu lagi tapak kaki. Kami sama-sama melihatnya. Saya berjalan menuju kearah tapak kaki itu dan jejak itu semakin mara kehadapan sebelum saya sampai. Dari kesan tapak kaki, saya agak itu ialah jejak tapak kaki kanak-kanak. Tapi kami tidak nampak dengan jelas kesan tapak kaki itu untuk kami pastikan. Tetapi kami melihat tapak kaki yang tidak berkasut. Fenomena ini terhenti apabila kami tiba di dinding yang bertentangan, dan kejadian tersebut tidak lagi berulang. Kami menaiki tangga dan masuk ke dalam bilik-bilik di tingkat bawah, ruang makan, bilik kecil di belakang dan bilik kecil yang mungkin muat untuk seorang pembantu. Semuanya keras dan tidak bersentuh. Kami kemudian melawat ruang tamu, bersih seperti ada yang mengemasnya. Disitu, saya duduk di atas kerusi. F meletakkan lilin yang telah dinyalakan di atas meja. Saya kemudian beritahunya untuk menutup pintu. Ketika dia berpaling untuk berbuat demikian, kerusi bertentangan dengan saya beralih dari dinding dengan cepat tetapi perlahan. Kerusi itu kemudian jatuh beberapa meter bertentangan daripada kerusi saya.

"Ini lebih baik daripada meja yang berpusing," kata saya dalam keadaan setengah ketawa. Apabila saya ketawa, anjing saya mengangkat kembali kepalanya dan melolong.

F, kembali dan tidak menyedari pergerakan kerusi itu. Dia menenangkan anjing tersebut. Saya terus merenung kerusi itu, dan saya melihat di atasnya terdapat bayangan yang bewarna biru pucat dan berkabus, tetapi kurang jelas yang membuatkan. Hal ini membuatkan saya agar percaya saja kepada penglihatan saya sendiri. Anjing itu kini telah tenang.

"Letakkan kembali kerusi itu bertentangan dengan saya," kata saya kepada F;

"Letakkan kembali ke dinding."

F patuh. "Tuan ada cakap sesuatu?" Kata dia, berpaling tiba-tiba.

"Saya?"

"Ada sesuatu yang menepuk saya di bahu."

"Tidak," kata saya. "Tetapi kita ada hantu yang suka mengalih barang dengan kita walaupun kita tak tahu muslihat mereka lagi tetapi bukankah kita akan menangkap mereka sebelum mereka menakut-nakutkan kita."

Kami tidak berlama di ruangan itu, kerana keadaan disitu lembap dan sejuk, hinggakan saya berasa gembira apabila sampai ke pendiang api di tingkat atas. Kami mengunci pintu di bilik tamu dan juga pintu bilik-bilik sebelum ini sebagai langkah berjaga-jaga. Bilik tidur yang pembantu saya pilih adalah yang terbaik di aras itu, besar, dengan dua tingkap menghadap jalan. Katil yang bertiang empat itu terletak bertentangan dengan pendiang api, yang dibakar yang jelas dan terang. Ada sebuah pintu di dinding sebelah kiri, di antara katil dan tingkap yang menghubungkan bilik saya dengan bilik yang didiami pembantu saya. Bilik kecil ini merupakan sebuah bilik kecil dengan katil sofa, dan tidak ada pintu lain kecuali pintu ke bilik tidur saya. Di sebelah pendiang api terdapat almari tanpa kunci yang dibina sama rata dengan dinding dan dilitupi dengan kertas perang. Kami periksa almari ini dan almari itu mengandungi hanya cangkuk untuk menggantung pakaian wanita, kami memeriksa dinding yang ternyata kukuh itu. Setelah selesai memeriksa pangsapuri ini, saya memanaskan diri seketika, dan nyalakan cerut saya. Saya kemudian, ditemani F, meneruskan peninjauan saya. Di koridor terdapat satu lagi pintu lain yang ditutup dengan rapi. "Tuan," kata F terkejut, "Saya cuba untuk buka pintu ini seperti pintu yang lain semasa saya mula-mula datang tetapi sepertinya pintu ini dikunci dari dalam."

Sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya, pintu tersebut terbuka dengan sendirinya. Kami memandang satu sama lain. Perkara yang sama terlintas di fikiran kami, ‘terdapat perbuatan manusia disebalik semua ini’. Saya bergegas masuk, diikuti oleh F. Sebuah bilik kecil, kosong, suram; terdapat beberapa kotak kosong dan hamper di satu sudut; tingkap kecil yang bidainya ditutup; tidak  ada pendiang dan tidak ada pintu lain kecuali pintu yang kami lalui tadi, tidak ada permaidani di atas lantai. Lantai yang buruk, tidak sekata, reput, dan ada tampalan putih di sana sini pada kayu, tetapi tidak ada kesan manusia, dan tidak ada tempat untuk bersembunyi. Ketika kami melihat sekeliling, pintu tersebut ditutup perlahan-lahan sebagaimana ketika dibuka. Kami terkurung di dalam.

Buat pertama kali saya merasakan perasaan seram yang tidak boleh digambarkan, tetapi tidak F. "Mereka fikir mereka boleh mengurung kita, tuan.  Saya boleh memecahkan pintu itu dengan tendangan saya."

"Cuba membukanya dengan tangan kamu dahulu," kata saya cuba untuk menghilangkan rasa bimbang yang melanda, "Sementara saya cuba untuk membuka bidai dan melihat keluar."

Saya membuka bidai dan mendapati tingkap tersebut menghadap ke laman kecil di belakang rumah seperti saya terangkan sebelum ini, tidak ada beranda dan tidak ada apa yang dapat memecahkan dinding kukuh itu. Manusia yang cuba keluar melalui tingkap tersebut tidak akan ada tempat berpijak sehinggalah dia jatuh diatas batu di bawah.

Cubaan F untuk membuka pintu hanya sia-sia. Dia berpaling kepada saya dan meminta kebenaran untuk menggunakan kekerasan. Ketika ini saya amat  mengkagumi dia kerana kualiti yang ada padanya dan perkara ini membuatkan saya bersyukur kerana memperoleh sahabat yang akan berada bersama saya sentiasa. Saya mengizinkannya. Walaupun dia seorang yang kuat, tenaganya seakan-akan hilang ketika menendang pintu kerana tidak ada tanda pintu itu akan terbuka. Dia berhenti dari mencuba dalam keadaaan tercungap-cungap. Kemudian saya pula cuba membuka pintu itu tetapi sia-sia. Apabila saya berhenti mencuba, sekali lagi saya merasakan bulu roma saya meremang, tetapi kali ini lebih sejuk. Saya merasakan seolah -olah terdapat hembusan yang aneh dan mengerikan datang dari lubang kecil di lantai yang tidak rata itu, lalu mengisi atmosfera dengan pengaruh yang berbahaya kepada manusia. Pintu itu perlahan-lahan dibuka dengan sendirinya. Apabila kami keluar dari bilik itu, kami dapat melihat satu cahaya, sebesar manusia yang pucat. Cahaya itu lalu di hadapan kami, menaiki tangga ke loteng. Kami mengikuti cahaya tersebut. Di sebelah kanan koridor terdapat satu bilik loteng kecil, yang pintunya terbuka. Saya masuk ke dalam. Cahaya itu kemudian pecah menjadi buih-buih kecil, berada seketika di atas katil di sudut, bergetar dan hilang. Kami mendekati katil itu dan memeriksanya, katil half-tester[3] yang biasa ditemui di loteng milik para pembantu. Diatas laci yang berada berhampiran katil itu terdapat satu helai kain sutera lama yang lusuh, dengan jarum yang masih terselit, dalam keadaan separuh siap. Kain yang diselaputi debu itu, mungkin kepunyaan perempuan tua yang telah meninggal dunia dalam rumah itu, dan mungkin ini bilik tidurnya. Saya ingin tahu apa yang ada di dalam laci tersebut lalu membukanya: ada beberapa helai pakaian wanita, dan dua pucuk surat yang diikat dengan reben kuning. Saya ambil surat tersebut. Kami dapati tidak  apa-apa  untuk diperhatikan dalam bilik itu dan cahaya itu juga tidak muncul semula, tetapi apabila kami ingin berlalu pergi, kami mendengar dengan jelas, bunyi tapak kaki berjalan di atas lantai dihadapan kami. Kami masuk keempat-empat loteng dan bunyi tapak kaki itu masih lagi mendahului kami. Kami tidak nampak apa-apa kecuali mendengar bunyi tapak kaki. Surat itu saya pegang dan sebaik sahaja saya ingin menuruni tangga, saya merasa pergelangan tangan saya dipegang dan ada usaha yang lemah cuba untuk mengambil surat dari pegangan saya. Saya memegang surat itu dengan lebih erat, dan tiada lagi cubaan untuk mengambilnya.

Kami kembali ke kamar tadi, dan kemudian perasan anjing saya tidak mengikuti kami sewaktu kami meninggalkannya tadi. Ia mendekatkan dirinya dekat dengan pendiang api dalam keadaan menggeletar. Saya sudah tidak sabar untuk membaca surat-surat itu. Semasa saya membacanya, pembantu saya membuka kotak kecil yang menyimpan senjata saya yang telah dia bawa. Dia mengeluarkan senjata itu dan meletakkannya di atas meja di kepala katil, kemudian menyibukkan diri dengan menenangkan anjing itu, bagaimanapun, tidak dapat mengalihkan perhatian dia daripada perkara tadi.

Surat itu pendek dan bertarikh. Tarikhnya tepat tiga puluh lima tahun dahulu. Surat itu jelas dari kekasih kepada kekasih gelapnya, atau suami kepada isteri muda . Bukan sahaja dari segi ungkapan, tetapi terdapat ayat mengenai perjalanannya yang terdahulu, menunjukkan penulis pernah menjadi pelayar. Ejaan dan tulisan menunjukkan penulis merupakan orang yang kurang berpendidikan. Melihat panggilan mesra mereka, menampakkan cinta yang penuh nafsu. Di sana sini terdapat petunjuk tentang rahsia yang bukan rahsia cinta, tetapi seakan-akan mengenai jenayah. "Kita harus menyayangi antara satu sama lain," salah satu daripada ayat yang saya ingat, "kerana orang lain akan membenci kita jika semuanya diketahui." Sekali lagi: "Jangan biarkan sesiapa berada di dalam bilik yang sama dengan awak pada waktu malam, awak bercakap dalam tidur" dan sekali lagi: "Apa yang telah berlaku, sudah pun terjadi, dan tiada sesiapa yang dapat berbuat apapun kepada kita kecuali orang mati hidup kembali.” di sini terdapat tulisan tangan yang cantik dipercayai seorang wanita. “Mereka hidup kembali!" Pada surat yang paling akhir, tulisan tangan wanita yang sama telah menulis kata-kata ini: "Hilang di laut pada 4 Jun , bersamaan dengan hari…"

Saya meletakkan surat itu, dan mula merenung kandungannya.

Bagaimanapun, saya takut pemikiran saya menggoyahkan semangat saya, lalu meletak fikiran saya dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi apa jua keadaan yang bakal tiba. Saya bangun dan letakkan surat di atas meja; mengacau api yang masih terang dan membuka koleksi cerita Macaulay saya. Saya membaca sehingga jam sebelas setengah. Kemudian melemparkan diri saya di atas katil, dan memberitahu kepada F yang dia boleh balik ke bilik sendiri, tetapi harus berjaga-jaga. Saya mengarahkan dia agar membiarkan pintu antara dua bilik itu terbuka. Apabila bersendirian, saya menyalakan dua lilin yang berada di atas meja di kepala katil. Saya meletakkan jam tangan saya di sebelah senjata, dan meneruskan bacaan Macaulay saya dengan tenang. Bertentangan dengan saya,api telah dipadamkan, dan diatas permaidani, anjing saya kelihatan seolah-olah tidur. Kira-kira dua puluh minit kemudian, saya berasa udara yang sejuk melalui pipi saya, seperti angin yang masuk melalui tingkap secara tiba-tiba. Saya berpaling ke pintu di kanan saya, yang menghubungkan antara bilik dan koridor dengan anggapan pintu tersebut terbuka, tetapi sangkaan saya salah, pintu tersebut tertutup rapat. Saya kemudian berpaling ke kiri dan melihat api lilin beralun tanpa rentak seperti ditiup oleh angin. Pada masa yang sama jam tangan saya di sebelah revolver menggelonsor turun perlahan-lahan dari meja, tidak terlihat tangan yang menarik, kemudian hilang tiba-tiba. Saya bangun dan mengambil pistol dalam satu tangan dan pisau di tangan yang lain, saya tidak bersedia untuk kehilangan senjata saya seperti mana jam tangan saya. Dengan bersenjata, saya melihat sekeliling, dan tiada tanda jam tangan itu. Tiga ketukan perlahan, tapi kuat, di kepala katil lalu pembantu saya bertanya, "Tuankah itu?"

"Tidak! Berjaga-jaga."

Anjing itu bangun dan duduk, telinganya bergoyang-goyang. Dia memandang saya dengan pandangan yang pelik yang membuatkan perhatian saya tertumpu kepadanya. Perlahan-lahan dia bangun, bulunya meremang dan ia berdiri tegak, dengan renungan liar. Saya tidak mempunyai masa untuk memeriksanya. Pada masa ini, pembantu saya muncul dari biliknya. Jika ada yang bertanya sama ada saya pernah melihat wajah manusia ketakutan, itulah ketikanya. Sekira saya bertemunya di jalan, tidak mungkin saya akan mengenalinya dengan perubahan wajahnya. Dia lari kearah saya dan berkata dalam keadaan berbisik kepada saya, "Lari! Benda itu mengejar saya."  Dia berlari mendapatkan pintu, dan bergegas keluar. Saya mengekori dia ke koridor, memanggilnya untuk berhenti. Tetapi, dia tidak mengendahkan saya, dia berlari menuruni tangga, berpegang kepada pemegang, dan mengambil beberapa langkah pada satu masa. Daripada tempat saya berdiri saya dengar, pintu hadapan dibuka, kemudian ditutup. Saya telah ditinggalkan bersendiriran dalam rumah berhantu ini.

Untuk sejenak saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengikut F ataupun tidak. Namun maruah dan rasa ingin tahu menghalang saya untuk lari. Saya masuk semula ke dalam bilik, dan menutup pintu, kemudian berjalan berhati-hati ke dalam bilik kecil itu.  Saya tidak menemui perkara yang berjaya menakutkan pembantu saya. Sekali lagi saya meneliti dinding, untuk melihat sekiranyan terdapat pintu tersembunyi. Saya tidak menemui sebarang kesan pintu mahupun lipatan di kertas dinding yang berwarna perang. Lalu bagaimana, BENDA yang menakutkan F itu mampu untuk masuk kecuali melalui bilik saya?

Saya kembali ke bilik, tutup dan mengunci pintu bilik kecil yang dibuka, dan berdiri di hadapan pendiang dalam keadaan bersedia. Saya berpaling untuk melihat anjing saya yang telah berundur ke sudut dinding, dan menekan dirinya rapat ke dinding, seolah-olah ingin dinding itu menelannya. Saya menghampirinya dan ingin menenangkannya. Makhluk yang kasihan itu nyata ketakutan. Ia menyeringai dan pasti akan menggigit saya jika saya menyentuhnya. Ia seolah-olah tidak mengenali saya. Sesiapa yang pernah pegi ke taman Zoologi dan melihat kejadian arnab ketakutan dikepung di satu sudut oleh ular, pasti akan memahami penderitaan anjing itu. Saya mencuba sedaya upaya untuk menenangkan namun sia-sia, dan ketakutan yang dirasakan mengenai gigitan berbisanya sama seperti ketakutan saya terhadap air. Lalu saya membiarkan dia, meletakkan senjata di atas meja di sebelah pendiang api lalu duduk dan menyambung bacaan Macaulay saya.

Pembaca mungkin merasakan cerita saya ini mungkin berlebih-lebihan. Tetapi saya tidak cuba untuk menjadi berani tapi saya rasa saya boleh dimaafkan jikaada satu atau dua kenyataan saya berbunyi seperti tinggi diri.

Sementara saya menstabilkan diri dan mencari keberanian dengan keadaan ini.  Saya perlu mengatakan bahawa saya telah biasa dengan semua yang bersangkut paut dengan kejadian yang luar biasa. Saya telah menyaksikan banyak fenomena luar biasa di serata dunia, fenomena yang sukar dipercayai jika saya menceritakkannya yang fenomena ini diakibatkan oleh kuasa ghaib. Sekarang, teori saya mengenai perkara ghaib adalah ia sesuatu yang mustahil, dan perkara yang dikatakan perkara ghaib adalah sesuatu yang wujud sebahagian daripada lumrah alam yang sebelum ini di ketepikan. Oleh itu, jika muncul lembaga dihadapan saya, saya tidak akan mengatakan, "Jadi, perkara ghaib itu sesuatu yang mungkin;" tetapi sebaliknya, "Jadi, itu hanya jelmaan hantu, bertentangan dengan lumrah alam yang bukan luar biasa.”

Sekarang, setelah apa saya saksikan sebelum ini, sesungguhnya dalam semua kejadian yang direkodkan seb

You may also like...