38-Kesilapan-Umum-Di-Sekitar-Solat by Publish by HaR - HTML preview

PLEASE NOTE: This is an HTML preview only and some elements such as links or page numbers may be incorrect.
Download the book in PDF, ePub, Kindle for a complete version.

Penyusun

Ruslan Mamat

MUKADDIMAH

Segala puji hanya milik Allah Subhanahuwa Ta’ala (SWT) semata-mata, Rabbul ‘Alamin. KepadaNya, kita memohon hidayah-Nya, memohon segala keampunan, berlindung dari bisikan dan pujukan syaithan yang direjam, juga berlindung dari segala kesalahan dan keburukan diri. Barang siapa diberikan petunjuk olehNya, dia tidak akan tersesat dan barang siapa yang tidak diberikan hidayah-Nya, dia termasuk dalam golongan yang rugi. Sesungguhnya, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu adalah utusan-Nya. Selawat serta salam semoga tercurah atas junjungan besar Rasulullah Salallahu ‘Alaihiwassallam (SAW), serta keluarga baginda, para sahabat yang tercinta dan seluruh mukminin dan mukminat.

Sembahyang atau dikenali juga dengan perkataan “Solat”, adalah kewajipan kita yang mengaku diri sebagai orang Islam. Solat merupakan tiang agama dan merupakan suatu tanggungjawab yang menentukan apakah seseorang itu Islam atau kafir. Jadi, orang yang meninggalkan solat, ia adalah kafir, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

"Pemisah di antara kita dan mereka (orang kafir) adalah solat. Barangsiapa meninggalk an solat maka sesungguhnya dia telah kafir." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah).

Rasulullah SAW, sebelum wafat, meninggalkan wasiat: “Jagalah solat. Jagalah solat. Jagalah solat…………….” Sayangnya kita umat Islam hari ini, tidak “menjaga solat” sebagaimana yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW. Kita mengerjakan solat ala kadarnya sahaja. Seperti “melepaskan batuk di tangga”. Kita mengerjakan solat, tetapi jiwa kita tidak pernah “menyentuh” makna solat dengan sebenar-benarnya. Kita tidak “bertemu” dengan Allah. Kita tidak “bercakap-cakap” dengan Allah.

Sabda Rasulullah SAW: Ketika melaksanakan solat, seorang hamba bercakap mesra dan  akrab dengan Allah. (Hadis riwayat Imam Bukhari & Muslim).

Rasulullah SAW tahu bahawa di suatu ketika nanti, umatnya akan mensia-siakan solat, umatnya tidak lagi ‘menjaga solat’. Dan ini boleh diperhatikan melalui sabda baginda SAW: “Akan datang satu masa atas manusia, di mana mereka mengerjakan solat, yang sebenarnya mereka tidak mengerjakan solat!” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Kata ulama’ besar Imam Ahmad lagi, “Saya sangat khuatir bahawa zaman yang  dimaksudkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis ini adalah zaman kita sekarang  ini” Bayangkan zaman tersebut adalah di zaman Imam Ahmad iaitu di tahun 164H hingga 241H. “Sekiranya engkau solat di dalam 100 buah masjid, engkau tidak akan melihat satu masjidpun di mana manusia mengerjakan solat dengan betul sebagaimana yang  dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.  Ketahuilah olehmu, sekiranya ada  seorang yang benar tatacara solatnya, lalu dia melihat orang lain yang salah dan mensia- siakan solatnya, lantas dia diam, tidak menegurnya atau memperbaiki akan kesalahan  orang itu atau tidak menasihatinya, maka dia bersama-sama menanggung dosanya. Jadi  orang yang betul tatacara solatnya tadi, samalah dengan orang yang melakukan  kesalahan bila dia tidak menegur dan menasihati orang yang salah tadi,”  kata Imam Ahmad.

Sabda Rasulullah SAW: "Ikatan Islam akan terlepas satu persatu. Dan setiap kali terlepas  satu ikatan, maka manusia akan bergantung dengan ikatan berikutnya. Yang pertama  akan terlepas ialah hukum-hukum Allah dan yang terakhir adalah solat".  (Hadis riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim)

Dalam Al-Qur’an, jelas diterangkan kepada kita melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan?”  (Surah Maryam: Ayat 59)

Inilah dilema besar yang saya hadapi. Di depan mata saya, berbagai ragam kesalahan dilakukan oleh orang yang mengerjakan solat. Yang paling nyata, ramai di kalangan mereka solat tanpa menitik beratkan thuma’ninah. Langsung tidak ada ketenangan ketika mereka mengerjakan solat. Mereka solat nak cepat selesai. Mereka solat seperti melepaskan ‘beban’ yang terpaksa dipertanggung-jawabkan kepada mereka sebagai umat Islam. Waktu rukuk, rukuknya ala kadar sahaja. Waktu iktidal, belumpun benar-benar berdiri lurus, dah nak sujud. Waktu sujud, kepala terlalu menungging, dahi dan hidung tidak kena tempat sujud. Malah ada juga imam jema’ah yang termasuk dalam golongan ‘tidak menitik beratkan thuma’ninah’ ini.

Hal-hal ini berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan untuk menegur mereka. Siapalah saya kalaupun saya mahu menegur mereka! Sempurna sangatkah cara solat saya? Akan tetapi, sekiranya saya tidak menegur mereka, saya tetap menanggung dosa kerana membiarkan kesalahan yang mereka lakukan.

Kita perlu meneliti semula, adakah solat kita bertepatan dengan cara solat yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad SAW. Ini kerana solat yang dilakukan tanpa berpandukan tatacara solat yang dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW, pastinya solat itu akan membawa kepada kecelakaan terhadap diri sendiri. Solat yang dilakukan itu semakin menjauhkan kita dari Allah. Firman Allah: “Maka celakalah bagi orang-orang yang solat (yaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4–5) Mengapakah demikian? Jawapannya sudah pastilah kerana solat yang dilakukan tidak mengikuti apa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW, baik dari mula takbirnya, qiyamnya, rukuknya, i’tidalnya, sujudnya, khusyuknya dan segala perkara yang bersangkutan dengan solat itu sendiri.

Dengan menyusun buku kecil yang tidak seberapa ini (dengan banyak kelemahan-kelemahan yang ada), saya memohon keampunan Allah Ta’ala kerana tidak menegur kesalahan-kesalahan yang berlaku di depan mata saya. Saya tidak mempunyai kekuatan menegur  mereka secara langsung. Allah memberi hidayah-Nya berupa kekuatan kepada saya menulis dan menyusun buku kecil ini dengan ilmu yang serba kekurangan dalam diri saya.

Dengan buku kecil yang serba kurang inilah saya memohon semoga Allah Ta’ala mengampunkan dosa-dosa saya (kerana tidak menegur mereka yang melakukan kesilapan demi kesilapan ketika mereka mengerjakan solat secara langsung di depan mata saya). Semoga dengan buku kecil inilah saya menegur anda secara tidak langsung. Semoga dengan buku kecil inilah juga, ia akan memberi manafaat kepada kita semua.

Saya menulis dan menyusun buku ini adalah semata-mata agar kita menjadi muslim sejati yang berittiba’ berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Bagi menyahut firman Allah “Berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang yang mukmin”  serta menyahut sabda Rasulullah SAW “Sampaikan dariku meskipun satu ayat”.

Jika sekiranya terdapat kesalahan dalam penyusunan buku ini, ia datangnya daripada kekhilafan diri saya semata-mata. Semoga Allah Subhanahuwa Ta’ala mengampuni kekhilafan dan kesilapan saya.

 

 

Salam tulus ikhlas dari saya,

31hb. Julai, 2007